Demam FULLA Melanda Anak Perempuan Anda
Anak patung Barbie atau boneka yang di dewasakan imejnya melalui pelbagai fesyen baju dan gaya sehingga menjadi fenomena di seluruh dunia sebenarnya ada pesaing yang hebat!
Tidak kurang comel dan menarik, boneka yang menjadi saingan kepada Barbie itu bertambah comel. Ini apabila rambutnya yang hitam halus itu dilitupi skarf dan dalam aksi dan gaya yang lebih sopan dan manis, tanpa menampakkan sebarang aurat yang terdedah.
Boneka tersebut merupakan kelahiran Islam yang diberi nama Fulla, asal perkataan bahasa Arab yang bermakna sejenis spesies bunga jasmine yang hanya boleh ditemui di negara-negara Asia Barat.
Jika patung Barbie membawakan fenomena yang menyebabkan kanak-kanak perempuan berkhayal untuk menjadi wanita yang cantik dan bergaya tetapi berbeza jika mereka bermain dengan anak patung Fulla.
Ini termasuk dalam iklan-iklan komersial bagi mempromosikan anak patung ini, menyaksikan bagaimana anak patung itu akan mendirikan solat subuh, menghadiahkan kek sebagai hadiah yang mengejutkan buat kawan-kawannya. Sehinggalah jangan lupa memakaikan Fulla, jubah kesukaannya ketika membawanya keluar berjalan-jalan!
Semua elemen positif yang berorientasikan kekeluargaan dan Islam menjadi teras agar ia mempengaruhi secara langsung kepada kanak-kanak.
Fulla 'dilahirkan' oleh NewBoy Design Studio yang beribu pejabat di Damsyik pada tahun 2005. Ketika mula-mula Fulla dilahirkan, kesemua stok anak patung ini habis dijual dalam tempoh 15 hari sahaja. Iaitu set anak patung Fulla bersama sehelai sejadah kecil, skirt labuh dan skarf yang dijual dengan harga RM140, ia mendapat sambutan hangat.
Pengurus Syarikat NewBoy, Fawaz Abidin berkata, Fulla adalah untuk pasaran Arab. Ia bukan bertujuan menjadi saingan kepada Barbie tetapi satu refleks kepada nilai-nilai Arab dan Islam itu sendiri.
"Fulla bukan seorang anak gadis yang seksi tetapi dia seorang yang jujur, pengasih dan mengambil berat serta menghormati kedua-dua orang tua, iaitu sifat-sifat yang semua ibu bapa orang Arab mahukan terhadap anak mereka," katanya.
Jika anak patung Barbie terkenal dengan rambut perangnya manakala Fulla mempunyai rambut hitam dan mempunyai anak mata bundar berwarna coklat.
Fulla memakai busana jubah dan berskarf di kepala tanpa perlu menutup muka.
"Mungkin agak berlebihan jika Fulla mengenakan jilbab, dalam Islam adalah tidak wajib untuk wanita-wanitanya menutup muka. Kita tidak mahu dituduh sebagai terlalu ekstremis," kata Fawaz.
Dara dan Sara
Namun fakta yang menarik, kedua-dua anak patung ini, Barbie dan Fulla masing-masing dikeluarkan dari kilang yang sama di China.
Ini kerana kilang tersebut tidak bermasalah untuk mengeluarkan patung tersebut yang diperbuat dari bahan yang sama, cuma berbeza bentuk di samping kilang tersebut mampu memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh Amerika dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Fulla turut didatangi dengan dua lagi rakannya, iaitu Nada dan Yasmeen tetapi terdapat juga anak patung 'Cikgu Fulla' dan 'Doktor Fulla'. Ia bertujuan menggalakkan anak perempuan apabila dewasa kelak menjadi guru dan doktor yang baik serta berguna untuk masyarakat mereka.
Apabila ditanya mengapa Fulla tidak didatangkan dengan pasangan atau teman lelaki sebagaimana Barbie yang mempunyai Ken untuk dipadankan bersama, Fawaz berkata, bukan menjadi satu budaya bagi lelaki dan perempuan yang belum berkahwin berpasang-pasangan dan beliau tidak mahu merosakkan imej yang telah ditetapkan.
Berbeza pula di Iran, kanak-kanak di sana gembira dengan kehadiran anak patung yang dikenali sebagai Dara dan Sara, sebagai pengganti Ken dan Barbie.
Dara dan Sara dilahirkan juga sebagai mengimbangi pasaran anak-anak patung Amerika dan semua aksesori patung yang membanjiri pasaran Iran.
Di samping anak patung Barbie itu mempunyai penampilan diri yang asing dari budaya Iran. Sehingga dikatakan anak patung Barbie itu lebih bahaya berbanding senjata perang Amerika.
Yang menariknya anak patung Dara dan Sara ini dilahirkan oleh sebuah institut pendidikan yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Iran, iaitu Institut Pembangunan Intelektual untuk Kanak-kanak dan Remaja.
Anak-anak patung mereka jadikan satu produk penting sebagai strategi mengekalkan warisan tempatan dari terpengaruh dari gaya dan budaya yang dibawa oleh anak patung yang dibawa dari luar khususnya dari Barat.
Sekalipun sekadar boneka, namun permainan ini didapati memberikan pengaruh yang sangat besar kepada perkembangan mental, daya intelektual dan budaya kanak-kanak yang sedang membesar.
Secara semulajadi semua kanak-kanak menyukai anak patung dan sebagai ibu bapa kita tidak akan mampu menahan keinginan si anak untuk memiliki anak patung sebagai teman sepermainan.
Kenapa mesti dihalang? Ini kerana Islam sendiri membenarkan.
Hukumnya harus kerana ada riwayat daripada Nabi SAW yang memberi rukhsah (kelonggaran) mengenainya. Kelonggaran dan pengecualian ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a berkata yang maksudnya:
"Sewaktu Rasulullah SAW (sampai di rumah) daripada peperangan Tabuk atau Khaibar, pada rak (kepunyaan Aisyah) ada kain penutup, lalu angin berhembus, maka tersingkap tepi kain penutup itu (sehingga) menampakkan beberapa anak patung perempuan mainan Aisyah. Maka Baginda bersabda: "Apa ini wahai Aisyah?" Aisyah menjawab: "Anak-anak patung perempuan milikku".
Dan Baginda terlihat pula di antara patung-patung tersebut ada patung kuda yang mempunyai dua sayap yang bertambah. Lalu Baginda bersabda: "Apa benda di atas kuda ini?" Aisyah menjawab: "Dua sayap". Baginda bersabda: "Kuda ada dua sayap?" Aisyah menjawab: "Tidakkah Tuan pernah mendengar bahawa Nabi Sulaiman mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap?" Aisyah berkata (menceritakan selanjutnya): "Maka Rasulullah tertawa sehingga aku melihat gigi-gigi geraham Baginda". (riwayat Abu Daud).
Daripada hadis ini, jelas menerangkan bahawa patung permainan bagi kanak-kanak adalah harus membuatnya dan memanfaatkannya berdasarkan tidak ada tegahan daripada Nabi SAW ketika melihatnya.
Rasanya ini antara peluang besar kepada usahawan tempatan untuk membawa masuk ke negara Malaysia, pastinya pengaruh Fulla dapat dikongsi bersama!
0 comments:
Post a Comment