Derita Pewaris Saka...
AYER HITAM: Seorang remaja perempuan bukan saja menderita kerana dikatakan mewarisi saka ibunya, malah lebih teruk apabila mendakwa dirogol bapa kandungnya ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Peristiwa hitam itu berlaku ketika mangsa berusia belasan tahun, dikatakan sering meracau setiap beberapa minit kerana tidak tahan menanggung sengsara dan kesakitan apabila saka berkenaan cuba menyerap masuk ke dalam tubuhnya.
Kejadian sejak dua tahun lalu itu menyebabkan ibu mangsa berusaha mendapatkan rawatan bagi memulihkan penyakit `misteri' dihidapi anaknya itu.
Difahamkan, ibu mangsa berusia awal 40-an, menerima ilmu saka yang diwarisi sejak turun temurun itu.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Amirah, 20, dan sedang menjalani kursus sebagai jurujual syarikat jualan langsung, terpaksa berehat sementara bagi memulihkan penyakitnya itu.
“Saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada kursus kerana sering meracau sehingga menakutkan rakan.
“Selama ini, saya tidak tahu ibu mewarisi ilmu saka daripada arwah nenek dan menyedari terkena selepas sering meracau tidak tentu masa.
“Melihat perubahan diri membuatkan saya tertanya-tanya apa yang terjadi kepada saya dan ibu menerangkan ilmu sakanya sudah diturunkan kepada saya,” katanya.
Dia yang juga anak tunggal berkata, selepas mewarisi ilmu saka sejak dua tahun lalu, perubahan dirinya begitu ketara sehingga membuatkan ibunya mengambil keputusan mengubatinya.
“Lebih mendukacitakan apabila bapa yang selama ini menjaga saya sejak kecil sanggup menodai saya ketika tidak sedarkan diri akibat ilmu saka itu meresapi tubuh saya.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan keadaan diri yang lemah.
“Saya kecewa dengan sikap bapa kerana dia tidak menggalakkan ibu mengubati penyakit saya, malah berkata ‘tak payah berubat, lebih baik hang mampus,” katanya.
Menurut mangsa, bapanya yang berusia 45 tahun memarahi ibu setiap kali mahu mendapatkan rawatan sama ada di hospital atau tradisional.
“Saya tidak boleh melihat muka bapa kerana akan menjerit seolah-olah saka yang meresap masuk ke dalam badan saya marah akan perbuatannya itu,” katanya.
Amirah yang masih menderita akibat perbuatan bapanya berkata, dengan bantuan ahli keluarga dia mendapatkan rawatan tradisional bagi membuang ilmu saka itu.
Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, berkata mangsa mengalami trauma teruk kerana terpaksa menghadapi dua kejadian dalam satu masa iaitu ilmu saka serta dirogol bapa kandungnya sendiri.
Fadzil yang membahasakan dirinya sebagai Pak Tam berkata, dia menggunakan kepakarannya bagi mengubati penyakit Amirah.
“Setiap kali merawat Amirah, dia menjerit kerana saka yang berada dalam badannya tidak mahu melepaskannya.
“Insya-Allah dengan pertolongan Tuhan, penyakit Amirah akan cepat sembuh. Ini bukan kejadian pertama, saya sudah mengubati lebih lima pesakit seumpama itu dan bersyukur kerana berjaya membantu mereka,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, Islam mengharamkan ilmu saka yang diamalkan masyarakat pada hari ini.
Katanya, perbuatan itu menjejaskan akidah seseorang itu kerana menggunakan jin untuk perubatan tidak kira sama ada untuk kebaikan mahupun keburukan.
“Islam agama yang sempurna, lengkap dan tidak perlu lagi untuk kita bergantung kepada kuasa jin bagi mengubati sebarang penyakit. Oleh itu jauhi segala kepercayaan khurafat itu dan mengamalkan ajaran Islam sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai perlu meningkatkan keimanan selain tidak meninggalkan rukun Islam supaya akidah mereka tidak mudah dipesongkan.
Sumber Asli Petikan Harian METRO 22/7/2009
0 comments:
Post a Comment