Friday, June 27, 2008

Panduan Menulis Cerpen

TAKRIF CERPEN

Cerpen singkatan dari "Cerita Pendek" di mana pembaca boleh menyudahkan pembacaannya dalam masa yang singkat (6 – 9 muka surat) atau paling lama satu jam (20 – 30). Namun pada kebiasaannya panjang sesebuah cerpen antara 6 – 20 muka surat bersaiz A4. Namun ada juga cerpen yang melebihi 20 muka surat dan ini bergantung kepada kebolehan pengarang dan kehendak penerbit. Sebagai contoh, Untuk menyertai sesuatu sayembara panjang cerpen antara 15 – 20 muka surat bertaip langkau dua baris .

Untuk disiarkan di surat khabar pula tidak melebihi 10 muka surat. Ini bermakna kalau cerpen itu panjangnya 20 muka surat kalau dikirim kepada mana-mana surat khabar, alamat tidak akan disiarkan kerana terlalu panjang sedangkan ruangannya terbatas kecuali untuk majalah.

Saya pernah beberapa kali mengikuti bengkel penulisan cerpen dan biasanya peserta akan bertanya apakah ciri-ciri cerpen yang baik? Dan biasanya penceramah atau pembimbing akan menjawab begini.

“ Cerpen yang baik adalah yang mudah difahami, mudah dimengerti, informasi dan mesejnya jelas, menggunakan bahasa yang indah, mentaati kaedah bahasa, judulnya menarik, dan meyakinkan.”

Selain itu cerpen yang menarik juga yang menyentuh isu atau berita semasa (news value), yakni aktual, faktual, penting, dan menarik. Dan ciri-ciri cerpen yang buruk pula ialah yang sebaliknya.

Namun cerpen yang dianggap baik oleh seseorang tidak semestinya dianggap baik pula oleh orang lain kerana setiap pembaca berlainan cita rasanya.

Ada pembaca yang suka cerpen konvensional dan ada pula pembaca yang suka cerpen berbentuk non konvensional. Pada saya samaada konvensional atau non konvensional punya kelebihan dan tetap ada peminatnya.

Adapun perkara yang perlu ada pada seorang penulis ialah niat yang baik, motivasi, mampu menguasai bahasa, suka membaca dan pandai menyesuaikan gaya penulisan mengikut kehendak pembaca.

Menulis sebuah cerpen ibarat membina sebuah rumah, mesti ada bahan-bahan untuk membangunkannya. Kalau rumah mesti ada tiang, atap, dinding, lantai dan sebagainya maka cerpen juga mesti ada perkara berikut:

1. CERITA

Cerita merupakan perkara penting dalam sesebuah cerpen. Dan kita hendaklah pastikan dulu jenis cerita yang hendak ditulis. Contohnya:

Cerita kekeluargaan
Cerita jenaka
Fiksyen sains
Cerita seram
Cerita sindiran
Pengembaraan
Cerita binatang
Kisah cinta
Fantasi
Cerita agama

Cerpen “HADIAH PALING BERHARGA” tergolong cerita kekeluargaan. Cerpen ini mengisahkan sepasang suami isteri yang hidup dengan penuh kasih sayang. Suami menganggap isterinya adalah hadiah paling berharga dalam hidupnya. Begitu juga isteri menganggap suaminya adalah hadiah paling berharga. Namun keamanan dan kedamaian adalah hadiah yang paling berharga.

2. WATAK

Watak ialah pelakon yang mendukung cerita dalam sesebuah cerpen. Tanpa kehadiran watak maka cerita tidak dapat digerakkan. Kerana itu watak mesti wujud dalam sesebuah cerpen.

Watak terbahagi kepada dua jenis iaitu watak utama dan watak sampingan/pembantu. Kerana takrif cerpen ialah cerita pendek maka tidak perlu watak yang ramai.

3. TEMA

Tema juga amat penting dalam sesebuah cerpen. Tema yang menarik perhatian pembaca ialah yang membawa persoalan baru dan boleh menambah pengetahuan pembaca.

Mesej yang hendak disampaikan melalui cerpen “HADIAH PALING BERHARGA” ialah keamanan, kedamaian, berkasih sayang adalah faktor utama kebahagiaan sesebuah rumah tangga,

4. SUASANA / LATAR BELAKANG

Latar belakang juga penting dalam sesebuah cerpen kerana membantu pembaca menghayatinya dengan jelas. Latar belakang terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya:

Latar belakang tempat
Latar belakang masa
Latar belakang umur
Latar belakang cuaca dan sebagainya.

Dengan adanya latar belakang ini memudahkan pembaca menggambarkan peristiwa yang sedang berlaku.

5. ALUR CERITA / TEKNIK PENCERITAAN

Teknik penceritaan juga amat penting untuk menarik perhatian pembaca. Ini terpulang kepada kepintaran pengarang untuk memilih teknik penceritaannya. Ada teknik mendatar dan mudah sahaja iaitu dari A hingga Z. Namun ada pula menggunakan teknik sebaliknya. Bermula dari Z atau puncak cerita kemudian dibuat urutan kembali peristiwa.

Cerpen “HADIAH PALING BERHARGA” bermula dengan teknik biasa kemudian diikuti flashback, monolog, kronologi, imbas kembali serta imbas muka watak-watak dalam cerita.

6. PERSOALAN

Persoalan dalam cerpen juga amat berkesan di hati pembaca. Ada persoalan yang dibiarkan tergantung jawapannya namun ada pula persoalan yang berjaya diselesaikan dengan baik.

Ada cerpen yang diakhiri dengan gembira dan ada pula cerpen yang diakhiri dengan sedih dan berduka. Ini juga terserah kepada pengarang untuk menentukannya.

7. AYAT AWAL

Ayat awal atau pembuka kata dalam sesebuah cerpen amat penting kerana di situlah letaknya minat pembaca. Jika ayat dimulakan dengan bahasa yang indah dan berjaya memikat pembaca maka besar kemungkinan pembaca akan terus membacanya hingga habis. Sebaliknya jika ayat dimulai dengan perkataan yang membosankan maka besar pula kemungkinan ditinggalkan begitu sahaja.

Kerana itu ada pengarang yang mengatakan paling sukar ialah hendak memulakan ayat pertama dalam sesebuah cerpen yang dihasilkannya. Ada kalanya terpaksa bermenung lama untuk memilih kata-kata yang indah dan memikat hati pembaca.

8. AYAT AKHIR

Ayat penutup juga amat penting kerana ia meninggalkan kesan di hati pembaca. Ayat penutup yang baik akan diingat oleh pembaca.

0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger.